Dua atlet dibawah naungan pasukan papan selaju profesional The Razkals, Muhammad Mer Nullah Khan, 13 tahun (Momo Khan) dan Mahathir Nor Daniel, 14 tahun kini berada di Tokyo, Jepun untuk menyertai Kejohanan Dunia Street, Jelajah Papan Selaju Dunia (WST).
Misi utama Momo Khan dan Mahathir di Tokyo adalah mendapat pendedahan awal bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi kejohanan bertaraf dunia, selain layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pengurus pasukan the Razkals, Shahrizul Ikwan Hussain, teruja dapat memulakan program pendedahan ini lebih awal, supaya Momo dan Mahathir bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi di masa hadapan.
“Pendedahan awal di Tokyo ini sangat penting kerana ramai jaguh sukan papan selaju yang sudah menjadi juara di kejohanan ternama dunia adalah dari Jepun pada usia yang sangat muda,” jelas Shahrizul.
“Kami mahu Momo dan Mahathir merasai pengalaman berkongsi gelanggang dengan yang terbaik di dunia dan melihat sendiri bagaimana latihan serta cara permainan atlet-atlet profesional dari seluruh dunia di hadapan mata mereka sendiri.
“Pergaulan dan latihan bersama-sama dengan atlet di sini diharap dapat membuka mata mereka dan memberi idea apa yang mereka boleh lakukan untuk menjadi seorang skater terbaik dunia.”
The Razkals ke Jepun dengan tajaan syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia, AirAsia dan syarikat swasta lain untuk merealisasikan misi ini dengan tidak ada kaitan mana-mana persatuan sukan.
Program ini mendapat sokongan daripada badan pentadbiran sukan papan selaju negara, Persekutuan Sukan Beroda Malaysia (MySKATE) yang menguruskan penyertaan Momo dan Mahathir untuk menyertai kejohanan itu.
Menurut presiden MySKATE, Idroose Tambarin, kedua-dua atlet tersebut (Momo dan Mahathir) mempunyai potensi tinggi untuk bersaing dengan atlet profesional luar negara di masa hadapan.
“Momo dan Mahathir sudah menunjukkan mereka mampu untuk menjadi atlet berprestasi tinggi apabila sudah memenangi banyak kejohanan tempatan pada usia yang sangat muda,” jelas Idroose.
“Pada Oktober, Mahathir berjaya mendapat tempat ketiga dalam penyertaan kejohanan sulung antarabangsanya di Bali, Indonesia, manakala Momo berada di tempat kesembilan.”
The Razkals dan MySKATE juga bersetuju untuk mewujudkan kerjasama di masa hadapan termasuk membangunkan sebuah master plan untuk memastikan Malaysia mempunyai atlet yang layak untuk mewakili negara dalam sukan papan selaju di Olimpik Los Angeles 2028.
“Kami juga menyokong usaha dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pasukan the Razkals kerana pihak pengurusannya mempunyai pengalaman yang luas dalam pembangunan atlet dan pernah menguruskan pembangunan atlet sukan ekstrem Malaysia di bawah persatuan terdahulu, Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (ESAM).
“Di bawah ESAM, mereka menguruskan pembangunan sukan atlet sukan ekstrem, selain menganjurkan sirkit kejohanan sukan ekstrem dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).”
“Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran untuk membangunkan sukan ini seperti The Razkals untuk bersama-sama dengan MySKATE membangunkan sukan papan selaju.”
“Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan mana-mana penaja yang mendukung aspirasi pembangunan belia negara untuk mengangkat sukan skateboarding menjadi lebih daya saing di peringkat global untuk bersama-sama dengan MySKATE dan The Razkals untuk membangunkan sukan papan selaju.”
“Kita sangat terbuka untuk mana-mana pihak dalam agenda membangunkan sukan ini dan saya percaya semua pihak boleh memainkan peranan masing-masing di setiap peringkat.” jelas Idroose.
Jelajah dunia di Tokyo ini juga bakal disertai atlet tuan rumah, Yuto Horigome yang juga merupakan pemenang emas Olimpik papan selaju yang pertama kali diadakan pada Tokyo 2020.
Gelaran jaguh dunia bakal menjadi rebutan di Kejohanan Dunia Street Tokyo WST yang diadakan di Ariake Urban Sports Park, Tokyo dari 10-17 Disember.
Ia juga merupakan jelajah dunia bagi mengutip mata kelayakan untuk Olimpik Paris 2024.
Namun, Paris bukan sasaran MySKATE dan The Razkals kerana masa sudah suntuk, selain Momo dan Mahathir sudah terlepas beberapa siri kejohanan lain sebelum ini.
Malah mereka belum bersedia sepenuhnya untuk mengatasi jaguh dunia dan fokus diberikan sepenuhnya untuk pembangunan mereka bagi Los Angeles 2028 dan kejohanan-kejohanan lain.
Untuk maklumat lanjut sila email frontsidemalaysia@gmail.com atau hubungi pengurus pasukan the Razkals, Shahrizul di +6017 268 6225.